Wednesday, 10 October 2018

NYAWA



NYAWA

Kisah benar , pengalaman yang aku lalui ...

Lebih kurang 7 Tahun yang lepas , Sebelum kisah gangguan kelibat tak diundang , 4 bulan selepas aku mendaftarkan diri di Hospital Daerah Mersing Johor , Tragedi yang menjadi salah satu memori yang ironi , bakal meletakkan aku di satu sudut yang dapat membuatkan aku hilang segalanya yang aku usahakan . 

Pada tarikh itu , Aku berkerja seperti bisa , Hari itu aku Oncall , Bersedia atas panggilan selepas Tamat waktu bekerja .

Detik 5 petang , Aku keluar dari hospital untuk mengambil angin pantai , Aku tahu aku bakal menempuh pelbagai dugaan yang tak terduga , Apa apa boleh berlaku .

Setiap kali Oncall , Setiap kali itulah darah gemuruh yang menjadi dalang dalam menentukan nasib aku pada hari esoknya .

Hospital daerah , Hanya ada 5 orang pegawai perubatan (MO) Medical Officer  , Tidak berPakar . Bermaksud segala keputusan harus dibuat serta merta , Bukan keputusan melulu .. keputusan yang harus kau putuskan untuk menjamin keselamatan pesakit , Bukan itu sahaja , aku perlu pastikan setiap keputusan yang aku bakal buat , Perlu disertakan dengan data data saintifik dan juga hujah yang boleh diterima pakai sekiranya apa apa kes yang dibawa ke mahkamah . 

SAMAN , ! adalah salah satu kasa kota keramat yang amat Menakutkan jika kau membuat keputusan melulu tanpa data saitifik atau hujah yang dapat mempertahankan keputusan yang telah kau buat .Pesakit mudah untuk Saman jika ada kecuaian ..

Kau bakal hilang lesen sebagai doktor , Maka hancur begitu sahaja usaha kau selama bertahun tahun kau bina . 

Berbalik kepada cerita sebenar , begitulah gambaran betapa kecil nya kami , apabila dikelilingi dan berhadapan dengan puluhan Ribu penduduk didalam daerah itu . 

Bagaikan medan pertempuran , Setiap hari kami bertempur dengan pelbagai pesakit yang rumit , Dokumentasi yang panjang berjela dan rapi , Ditambah lagi kes Nazak serta Kemalangan jiwa .

Pasti nya , setiap kali sebelum aku memulakan Oncall , aku akan duduk ditepi pantai  , Selalunya aku akan duduk di Jeti mersing bersebelahan Pirate Cafe , Melihat feri lalu lintas , atau melihat beberapa pemancing yang sedang berseronok menjalani hari hari mereka ..

Namun , hidup aku bukanlah memikirkan diri aku seorang ,  setelah aku memegang jawatan Pegawai perubatan , Setiap hari , Masalah orang lain , kesusahan orang lain , Kesakitan orang lain ... Ada lah milik aku juga ..Walaupun gaji yang tak setimpal mana ... Tetapi ... Aku masih ingat kata kata dari seseorang... 

“ Hidup ini , sebelum mati , Biar bermanfaat pada orang lain , Baru lah berbaloi kau lahir dalam dunia “

Itu lah semangat juang yang masih aku pegang dan simpan ...

Hari tenang seperti biasa , tapi Tenang jangan disangkakan tiada buaya ...

Aku masih ditepi pantai jam 6 petang ..
Aku mula rasa resah , Bagaikan ada sesuatu yang tak kena hari ni ..

Nak kata demam , tak juga , Badan rasa serba serbi tak kena ...Aku dapat rasakan seperti ada sesuatu yang bakal menerpa .

Aku pulang ke rumah , Rumah aku hanya 2 minit sahaja dari hospital , engine belum panas pasti dah sampai .

Aku terbaring di sofa , sambil telefon aku letak diDada , pasti kan nada dering sentiasa dibuka ... aku terlelap ..

Jam 9 malam .....aku terima panggilan ..

“ Bos ! Urgent !!!!! datang sekarang , Patient trauma , jatuh dekat jeti ... leher terpotong ...bleeding banyak “ panggilan pada malam itu yang amat menyeramkan ... 

“ Ok , Kau make sure semua Line secure , Semua salur darah masuk branula , semua pasang iv drip , run Fast !! ... Monitor vital sign , kalau Tak ada heart rate , tak ada nadi , terus initiate CPR , Jangan tunggu aku ... “
balas aku tercungap ..

Terbeliak , aku bingkas bangun terus melulu ke hospital ..

Seperti yang aku sangkakan , tenang tak bermaksud bahagia , kau tak tahu lagi ujian apa yang bakal menimpa .. 

Kurang dari 2 minit aku sampai ...
4 orang MA medical assistant yang sedang cuba memberhentikan pendarahan dileher , Melihat pada jumlah Gauze yang berdarah , Aku sangkakan lebih 2 liter dah telah pun hilang , 

aku mengambil posisi ,

“ Bring me all clamp that we have !!  Bawa semua clamp yang ada !!! Korang semua Clamp ( Ketip) ? Ketap ? salur darah yang korang jumpa ! kau pula telefon doktor lain yang tak oncall dirumah datang bantu !!!  jerit aku memastikan semua staff dapat arahan yang tepat ..

Aku memulakan intubasi , untuk memastikan saluran pernafasan dapat diselamatkan ... dan yang lain pula bertungkus lumus bermandi darah yang cuba mereka hentikan ...

Separuh leher terpotong, Akibat tergelincir di atas jambatan kayu selepas hujan, Pesakit tadi terhumban ke Pacakan buluh tajam yang menjadi pasak tempat mengikat bot , Kesilapan yang kecil , Membawa maut tanpa disangka ... 

“ tettttt.... tetttt......” 

Cardiac monitor menunjukkan tiada aktiviti jantung .... Aku mulakan CPR , Yang lain masih lagi gigih mencari bleeders ... punca pendarahan ... 

Malangnya kami gagal pada malam itu , Satu nyawa yang hadirnya 50-50% , kini hanya tinggal 0% meninggalkan nama..

Luluh hati setiap dari kami , Masing masing comot darah di muka ...baju , seluar dan kasut .. Demi satu NYAWA ... walaupun Gaji para pembantu perubatan tak banyak mana , Tak setimpal dengan kerja dan usaha mereka , Namun mereka sedar , apa yang mereka lakukan adalah tanggungjawab kepada orang lain ..Bukan lah sekadar mengejar kemewahan dunia ..

Kami lihat sesama sendiri .. 
Kami gagal hari ini ..

Terlalu cepat ... masa bagaikan sangat singkat ...

Berselerak kawasan zon merah dengan tumpahan darah , botol iv drip , semuanya mengah tercungap kepenatan ... kesedihan tampak jelas , dari setiap raut wajah kami ... 

Time of death : 10:10 malam . 

“ thanks guys , kita dah buat yang terbaik , kita dah korbankan apa kemampuan yang kita ada ... tuhan lebih sayangkan dia ...” aku beredar ... 

Aku keluar mengambil angin ... senyap .. tak seperti hari biasa, sehingga kan aku tak mampu berkata apa apa pada diri sendiri .. Namun hati masih sakit dan kesal ... cuba mencari kesalahan diri ..

“ kalau lah aku dapat sampai 30 saat awal , mungkin masih ada peluang “ !

Namun itu hanya mungkin ... Mungkin berjaya mungkin lagi masih gagal ..

Aku mencari warung terdekat untuk minum , termenung bersendirian ...

“ dik , kau jatuh motor ke “ kata pakcik kedai ..

terkejut , tiba tiba ada yang tanya dari belakang ..

“ Eh taklah pakcik , Ni darah orang , Ni kasut ke 10 saya , mandi darah orang , seluar ni pun tak tahu berapa puluh kali dah mandi darah orang “ balas aku

Pakcik tu pulak terbeliak mata ...Mula perlahan menjauhkan diri dari aku , terkedu .. mengundur ke belakang .. senyum simpul ...

tak tahu macam mana , aku boleh cakap macam tu , rupanya percakapan aku itu menyeramkan orang lain ...

Namu ada rasa geli hati ..

“ mesti dia ingat aku baru lepas merompak atau bunuh orang “ bisik hati ..
Rasa ceria sedikit ...

“ saya doktor lah pakcik , tadi ada kes kemalangan , saya cuba selamatkan , pendarahan banyak .. tu yang kena seluar dan kasut “ balas aku

Pakcik tadi , terbeliak mata lagi , dan kemudian menghambus kan nafas lega ..

“ Nak , sumpah pakcik dah gigil tadi , ingatkan awak baru lepas bunuh orang atau pukul orang ... berderau darah naik kepala ! balas pakcik tadi 

Kami berdua berdekah ketawa ..

Dalam kesedihan itu , Tuhan hantarkan pakcik ini untuk memulihkan kembali perasaan gundah yang aku lalui ...

“ Saya tak dapat selamatkan .. pesakit tu meninggal “ aku balas tunduk ke bawah ...

“ Nak , Pakcik yakin kau dah buat yang termampu , yang lainnya serah saja pada tuhan .... yang penting , Malaikat kiri kanan dah catit kebaikan kamu .. kamu patut bangga , bukan semua orang dapat peluang macam kamu ... Kamu teruskan kerja ini , jangan putus asa ..pakcik doakan yang terbaik disetiap jejak langkah kamu .”. balas pakcik tadi

Sejak itu , kami masih berkawan sehingga kini ...Walaupun pakcik tu dah tak berniaga lagi ... 

Jam 1045 malam ... aku dapat panggilan seterusnya ... 

“ Bos ada patient collapse , 65 years old man , SOB , collapse ...( sesak nafas dan pengsan “ kata MA...

Aku terus bergegas , dalam masa kurang 2minit aku sampai ...

Seorang pakcik yang sedang sesak nafas , tercungap cungap , 

“ oxygen ! , vitals , ecg .... bla bla bla ...

“ Heart attack !

aku mulakan intubasi ....

sejurus sahaja aku masukkan tiub intubasi , jantung tidak berdegup lagi ....

CPR !!!! aku jerit !!

dan dalam masa yang sama , aku terima panggilan lagi

Jam 11 malam

“ doktor ! dari wad bersalin , CTG baby tak cantik , baby heart rate drop !! datang sekarang “ 

ya rabbi .... memang tak salah jangkaan aku petang tadi , sesuatu yang besar , ujian dasyat bakal menimpa ..

Korang teruskan CPR , Apa apa call aku !!!! tolong telefon doktor lain yang tak oncall datang !

Kesian pula kawan  kawan aku yang tk oncall malam tu , Tetap kena datang walaupun tak oncall ... 

Setibanya aku di ward bersalin,

Sekumpulan para Jururawat bidan sedang berusaha dalam proses bersalin seorang pesakit , yang ternyata si ibu sedang lemah ...

Denyutan jantung bayi makin lama makin lemah ,

Doktor , baby heart rate , degupan jantung makin perlahan ..

Kena hantar johor bahru !!!

“ saya arrange ambulance ya ! “ kata misi tadi ..

setelah puas aku congak , tambah tolak kira kali dan bahagi ...

No !!!! aku balas ..

Tak sempat ! Nak sampai johor bahru 2-3 Jam !!!! No way !

Kita kena keluarkan baby ni sekarang juga ... 

Semua jururawat bidan melihat aku !!! ... 

“ apa pogress now !?” aku tanya

“ Cervix fully dilated , Membran dah rupture , Head dah keluar sedikit tapi tak ada progress ! , Heart rate drop jauh dibawah paras normal “ kata salah sorang misi 

Berpeluh peluh ... 

Pada ketika itu , Aku mula bertanya ..

“Ya allah , dalam pada kau cuba menghembus nyawa baru , Kenapa perlu ada kesusahan itu ? “

Disaat itu , 
Aku menjadi perantara , 
menjadi utusan yang dilahirkan oleh maha pencipta , untuk membuat keputusan pada Hari Ini ...

Akhirnya , aku sedar , tujuan aku lahir didunia ... Bukan lah semata mata jasad bernyawa , Tetapi telah ditetapkan dalam jalan certia aku untuk menempuhi Saat ini ..

Saat yang menentukan .. Hidup atau Mati ..

sehinggalah aku berdepan dengan situasi pada hari ini jam 11 malam untuk membuat keputusan ...

Aku terpilih dari maha pencipta untuk menyelesaikan Nyawa yang bakal lahir ini ..

Berdegup jantung laju , masih berpeluh membasahi baju ...Gelisah .

Tapi aku harus tenang , Dengan tekanan pesakit yang masih nazak di kecemasan , Pesakit yang baru sahaja meninggal
...
“ Fuh .. tenang .. tenang .. jangan panik “ bisik hati

aku pun terus menghubungi pakar Obstetrik dan ginekologi di johor bahru ..

setelah aku ceritkan semua masalah ...

“ Saya yakin ! nak ke johor bahru memang tak sempat “!! balas aku..

“ Apa your next step !!? “ tanya Pakar ..

“ We only have Forceps here ! ...no vacuum!” balas aku ..

“ Have u done any of the procedure before ? any experience ?! tanya pakar lagi ..

“ Masa houseman , i did few times , i still remember , And i will recheck again the procedure ! balas aku ... 

“ Awak yakin tak ?” tanya pakar ..

Timebomb ... Bila bila sahaja boleh meletup dan musnah ...

Aku perlu yakin , aku perlu selamatkan nyawa ini ... 

“ Yes i do , Yes i can ! i will make sure , i will follow all necessary steps ! “ balas aku ..

Untuk aku yang dah lama tinggalkan bidang O&G , ianya bukan mudah , Ianya antara dua nyawa .. Bagi aku forceps delivery tak mudah , Banyak risiko pada bayi .. Mungkin untuk yang berpengalaman prosedur itu mudah .. Namun aku yakin .. Ianya penting dan serius 

Namun aku bersyukur , Dulu aku dilatih dengan dua orang registra O&G di johor bahru yang kini mereka telah pun berjaya menjadi pakar . Mereka ada lah contoh terbaik .Cara mereka melayan & Mendidik  HO ( doktor pelatih ) lebih baik dari yang lain  , Banyak luangkan masa untuk mengajar .... Atas latihan dan tunjuk ajar dari mereka , Sekurang kurangnya .. aku lebih berani .. 

“ Okay kalau kamu yakin ! Inform the father , get the consent “ kata pakar ...

Aku pun terangkan segalanya pada Si Ayah ..yang mulanya nampak tenang , bertukar raut kerut risau .. 

“ Insyallah tuan , saya cuba yang terbaik , ini saja jalan yang ada ... Jatung makin lemah , saya kena keluarkan sekarang !!” tapi saya nak beritahu awal awal risiko , kesan parut luka pada muka baby , kecederaan kepala , tengkuk dan sebagai ya ...”

Tanpa pilihan lain ...

Si ayah bersetuju , tanda tangan ... borang kebenaran ..Dengan hati yang tak rela ...

Pada detik itu , Hati dan perasaan si Ayah , bukan lah yang utama ,

Nyawa yang bakal dilahirkan ... menjadi subjek utama..

Aku kini meletakkan diri aku pada satu posisi berisiko tinggi , Jika gagal , Aku akan dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan ..

Namun demi perjuangan nyawa ... Aku sanggup tanggung semua risiko itu ...

Hanya aku aku seorang sahaja yang berdepan dengan peperangan nyawa ini ..

Tiada siapa dapat membantu ...

“ misi , kita prepare , forceps delivery ...” balas aku ..

semua jururawat disitu tercengang , terbeliak .. dah lama kita tak buat ni doktor ..

Kali terakhir guna forceps 4 tahun yang lepas , semuanya kita refer Johor Bahru ..

“ Dah ! tak ada masa , tak sempat ni , kalau jadi apa apa dalam ambulan , siapa nak jawab ... Pakar dah kasi green light , Consent dah sign ... I want my forceps now !!...

Setelah bergelut dalam kesusahan , bertarung nyawa , Aku dan bayi yang bakal dilahirkan ... 

Alhamdulilah , Akhirnya .. aku hembuskan nafas lega ..

“ uwekkkk.... “ terik syahdu

Terik tangisan bayi  , terngiang didalam bilik bersalin ... 

Aku pandang ... melihat kesemua raut wajah jururawat ... disekelilingku ...

“ alhamdulillah , terima kasih semua .. tanpa korang , kita takkan berjaya , “ balas aku dimedan pertempuran kecil ..

“ Time of delivery 11:30 Pm” jerit aku

Ada yang senyum , ada yang potong bawang mengalir air mata ... Kenapa ?

Kerana ianya Nyawa.   Nyawa yang bakal dilahirkan , tetapi bagaikan ada sesuatu yang menghalang ... 

Aku keluarkan bayi tadi , periksa semuanya , Letakkan dibawah warmer ... 

Prosedur Selebihnya, jururawat bidan yang sambung semula .

Aku memberi sepenuh perhatian kepada jasad suci yang baru lahir ini , Nyawa nya tadi yang berada pada hujung tanduk , Kini telah menjadi nyawa nya sepenuhnya ...

Dari raut wajah itu , Namun tertinggal sedikit kesan acuan objek forcep pada pipi ... kulit lembut yang putih , bercoret merah .... Namun ... kini jantung kau laju semula , laju seperti sedia kala .... 

Jari jemari kecil .... umpun ... pusat yang masih dicerut , Mata yang masih rapat ditutup ... Ritma degupan jantung ..

Indah ... tiada lain seindah ciptaan tuhan ...

Aku usap dahi , kepalanya .. Aku genggam perlahan jari jemari kecilnya .. 

“ Adik , kau tau tak ... kita sama sama bertarung nyawa tadi ....bila dah besar , kau jangan berhenti berjuang ..”  aku bisik ketelinga bayi itu menghembus sekali lagi nafas lega .. dalam keadaan tangan dan kaki ku yang masih menggigil ...

Si ayah pun masuk , terus menerpa ibu dan kemudiannya kearah bayi , Yang sudah dibalut diletakkan di bawah ‘ Warmer ‘ Kebuk Pemanas.  

“ Maaf tuan , ada kesan sedikit pada pipi , tapi kesan tu akan hilang sendirinya nanti..., Jantung dah berdegup kembali normal .... semuanya sihat ...”balas aku

Dari raut wajah si ayah yang kesal dan sedikit marah ..., Bayi pertama dilahirkan bersama sedikit kesan parut geseran merah di pipi .. 

Si ayah memandang ke arah aku ... kemudian memegang pipi anaknya ..dan hanya berdiam diri sahaja ... 

Aku faham ... Aku tak minta apa apa , cukup lah sekadar semuanya selamat ...

Aku berlari  pulang ke kecemasan ..

Dari raut wajah mereka aku tahu .. bukan mudah ..

“ kita dah CPR lebih dari 30 minit , Patient tak revert ... kita sedang siap kan mayat untuk dihantar ke rumah mayat ..” kat MA..

terdengar suar jeritan , tangisan dari luar ..

aku pasrah ..

“ Its ok guys , kegagalan kali ke 2 , semua ada hikmahnya .. kita dah cuba terbaik ... Tapi Bayi selamat dilahirkan “ aku balas cuba memujuk kembali emosi positif mereka ...

Bila “ Time of death “ ? tanya aku..

“ Time of death 11:30pm bos “ ... balas MA...

Aku terpinga ... 

Detik 11:30 Pm , 

Satu Nyawa lama yang telah pergi  

Digantikan dengan 

Satu Nyawa baru ke dunia yang bakal di Uji .

Takdir atau Kebetulan ? 

Wallahualam ...

Aku bukan lah Hero , Bukan lah Genius , Aku manusia biasa , sama seperti kalian semua .. Namun cerita ini aku kongsikan untuk kita dapat teladannya .

Setinggi mana pun darjat kita , Sebanyak mana harta yang kita ada , Satu hari nanti , Nyawa kita akan ditarik berlalu pergi , Hanya yang ada insan insan lain yang dapat membantu . Jangan lah kau bongkak memandang hina pekerja pekerja bawahan yang setiap hari mereka bertarung keringat dan nyawa demi memastikan kesihatan dan keselamatan orang lain . Kerana kita tidak tahu bila giliran kita ...Yang paling penting , Duit takkan mampu membeli Nyawa . 


  • Kalau korang ada kenal mana mana staff perubatan , Jururawat , pembantu perubatan mahupun sekali Tukang cuci dan tukang masak Dihospital atau klinik desa ...Hargailah dan Ucaplah terima kasih pada mereka , walaupun Gaji yang mereka terima tak setimpal dengan tanggungjawab mereka ... aku percaya , Kerana hati dan sifat juang mereka sesama manusia adalah lebih berharga . 

Mintak korang share dan Tag kawan kawan jururawat , Ma , PPK , dan semua penjawat di Kesihatan.

Kesempatan ini aku nak ucapkan terima kasih kepada pasukan perawat perubatan , Tak kira pangkat dan darjat .
Terima kasih , Tanpa anda semua , Tiada apa pun yang akan berjaya .


Sekian ...
Dr Yazeed Hair Johari
Ex- Medical Officer Hospital Mersing
Pejuang Saka Bersekutu.

NYAWA

NYAWA Kisah benar , pengalaman yang aku lalui ... Lebih kurang 7 Tahun yang lepas , Sebelum kisah gangguan kelibat tak diunda...